Tarbiyah Ramadhan Melahirkan Generasi Bertaqwa
Ya, graduan generasi bertaqwa. Formula pembinaannya telah dicatat di dalam Al-Quran. Justeru, sepanjang Ramadhan ini, Al Quran sewajarnya bukan sekadar dibaca untuk meraih pahala berganda, khususnya buat para pemuda, tetapi ditadabur untuk menggapai formula membina pemuda pemudi yang bertaqwa. Ramadhan tidak akan ada maknanya kita sambut saban tahun tanpa kita mencapai martabat generasi bertaqwa. Buat para pemuda pemudi Islam, marilah kita mengambil kesempatan semaksima mungkin mengikuti modul latihan realiti pembinaan generasi bertaqwa. Dalam madrasah rabbaniyah ini, kita sangat memerlukan pelajaran-pelajaran yang terdapat di dalamnya, khususnya buat para pemuda pemudi umat yang menginginkan kebangkitan Islam bersinar kembali.
Ramadhan adalah bulan daurah Al-Quran. Al-Quranul-Karim dalam pandangannya yang menyeluruh kepada alam semesta ini, manusia dan kehidupan ini, telah menerangkan kepada kita satu manhaj yang amali dalam mempersiapkan manusia di segi roh, pembentukan keimanannya dan pentarbiyahan kejiwaannya yang akhirnya melahirkan generasi bertaqwa.
Firman Allah dalam Surah Al-Anfal:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.” (Al-Anfal:29)
Firman Allah dalam Surah Al-Hadid:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad) supaya Allah memberikan kepada kamu dua bahagian dan rahmat-Nya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya serta diampunkan dosa kamu dan ingatlah Allah amat Pengampun lagi amat Pengasihani.” (Al-Hadid: 28)
Dan firman Allah dalam surah At-Talaq:
“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan segala larangan) nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar (dari perkara yang menyusahkan) serta memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangkakannya.” (At-Talaq :2-3)
Renungi dan perhatikanlah dalam keseluruhan rangkaian ayat-ayat tadi, apakah yang kita dapati?
Taqwa dan Kekuatan
Kita mendapati bahawa ketakwaan kepada Allah Azzawajala adalah merupakan asas gelombang kekuatan, serta asas bagi nur (cahaya) yang menyuluh dan asas bagi pemberian serta sumbangan (pengorbanan).
Dalam pada itu juga dengan ketakwaan kepada Allah SWT sahajalah yang membolehkan seseorang mukmin membezakan antara yang “putih” dengan yang “hitam”, iaitu membezakan antara yang hak dengan yang batil.
Begitulah dengan ketakwaan kepada-Nya, Allah menjadikan bagi mereka yang bertakwa satu nur (cahaya). Lantaran dengan cahaya tersebut mereka berjalan di kalangan manusia lalu manusia seluruhnya berpandukan dengan nur hidayah (yang mereka bawa) dan bersinarkan dengan nur tersebut.
Dengan ketakwaan kepada-Nya, mereka (yang bertakwa) mendapat jalan keluar (daripada kesusahan) kepada jalan yang penuh dengan keamanan. Sekalipun mereka di ketika itu berhadapan dengan maut serta berhadapan dengan seksaan-seksaan. Sayyid Qutb dalam mentafsirkan firman Allah (Surah Al-Anfal:29) menyatakan:
“Inilah dia bekalan iaitu bekalan persediaan dan kelengkapan di perjalanan. Bekalan ketakwaan yang menghidup, membangkit dan menyedarkan hati, membuahkan di dalamnya setinggi-tinggi kesedaran, kewaspadaan dan berhati-hati. Menyediakan baginya sinar cahaya petunjuk yang menyingkap segala rintangan ujian di liku-liku perjalanan yang sejauh mata memandang. Cahaya petunjuk ini merupakan cahaya yang tidak dikelami dengan sebarang syubhat (kesamaran) serta mendindingi pemikiran yang sempurna dan benar. Kemudiannya, ia adalah merupakan bekalan keampunan dan memaafkan sebarang kesalahan, bekalan kedamaian yang mencurahkan ketenangan dan kegembiraan, bekalan cita-cita serta impian untuk memenuhi dan mencapai kurniaan Allah yang maha besar di ketika hari yang tiada di sana sebarang bekalan di ketika hari yang mana keseluruhan amalan adalah sia-sia, tidak mempunyai sebarang nilaian. Kesemuanya ini adalah merupakan kenyataan: Bahawa hanya ketakwaan kepada Allah sahajalah yang benar wujud dan menjelma di hati, satu petunjuk yang membezakan antara yang benar dan yang batil yang seterusnya menyingkapkan rintangan dan halangan di perjalanan. Begitu juga dengan hakikat-hakikat kepercayaan (akidah) ini tidak akan dirasai, difahami dan diketahui melainkan kepada mereka yang melaksanakan secara amali.”








(Sebuah Puisi Biografi Syeikh Ahmad Yasin, 1938-2004)
Lahirku di Kampung Al-Jaurah,
Selatan Tebing Gaza, 1938 Masihiah,
Tercetus perang 1948, familiku berpindah,
Mengharung kaki menuju Ghazzah. (Gaza)
Tika asyik beriadah bersama teman,
Malang menimpa, aku terhumban,
Lumpuh seluruh badan,
Namun, kutekad kekuatan,
Lumpuhku tidak bisa menghalang pergerakan,
Minda, fikiran, tadbir jua amalan...
Kutamatkan pengajian sekolah,
Kuteruskan ke Universiti Ain Syams, padah,
Setahun berlalu dan aku terpaksa berhenti,
Hati yang terhiris itulah,
Yang kubawa ke Mesir gagah,
Kukenal Ikhwan, sertai jamaah.
Di Palestin,
Akulah guru, mengajar tatatertib,
Berkhutbah di masjid, akulah khatib,
Akulah pengasas Majma' Islami,
Pada 70-an tekad bersemi.
1983, aku ditangkap dituduh,
Pengasas Majd Mujahidin pembunuh,
13 tahun penjara, mahkamah menyuruh,
Namun terbebas selepas bulan kesepuluh.
Kuasaskan lagi gerakan HAMAS,
Gerakan Penentangan Islamiah, kemas,
1987, HAMAS berdiri tegas!
Sekali lagi, ditangkap askar Yahudi,
Dihukum penjara seumur abadi,
Ditambah 15 tahun lagi,
Kerana mengasas HAMAS menggempa Yahudi!
Makin hari, kumakin lemah, di penjara,
Pandangan kananku hilang mutiara,
Mata kiriku kabur, terseksa didera,
Penyakitku kronik, dihantar ke Hospital Penjara.
Subuh 1 Oktober 1997 barakah,
Aku dibebas dengan janji payah,
Antara Jordan & Israel laknatullah,
Selepas serangan Khalid Masy'al tergagal, musnah.
Kusenyum, kulihat
Intifadah Aqsa, bangkitnya ummat,
Menentang, melawan Zionis penjajah laknat,
Hingga terbunuh jua tercedera berat.
Pagi,
Malam Isnin aku bersolat sendiri,
Munajatku mohon ke hadrat Ilahi,
Agar ganjaran Syahid diberi di sisi,
Dan kuniat puasa di pagi hari.
Masjid, 22 Mac 2004 - Fajarnya,
Usai solat Subuh, tiada lama hanya,
Tika berjalan pulang, aduh sakitnya,
Tiada rasa nyeri, pulanglah,
Pulanglah ke hadrat Tuhanku, Allah,
Haruman syurgawi, rohpun terbanglah,
Duniaku, pisahlah,
Nyata kerananya dan kerana-Nya aku lelah...
Akulah Syeikh Ahmad Ismail Yasin!
Siapa kamu?
Apa yang kamu telah sumbangkan untuk agama Allah??