logo


I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, 19 July 2012

Tarbiyah Ramadhan Melahirkan Generasi Bertaqwa



Ya, graduan generasi bertaqwa. Formula pembinaannya telah dicatat di dalam Al-Quran. Justeru, sepanjang Ramadhan ini, Al Quran sewajarnya bukan sekadar dibaca untuk meraih pahala berganda, khususnya buat para pemuda, tetapi ditadabur untuk menggapai formula membina pemuda pemudi yang bertaqwa. Ramadhan tidak akan ada maknanya kita sambut saban tahun tanpa kita mencapai martabat generasi bertaqwa. Buat para pemuda pemudi Islam, marilah kita mengambil kesempatan semaksima mungkin mengikuti modul latihan realiti pembinaan generasi bertaqwa. Dalam madrasah rabbaniyah ini, kita sangat memerlukan pelajaran-pelajaran yang terdapat di dalamnya, khususnya buat para pemuda pemudi umat yang menginginkan kebangkitan Islam bersinar kembali. 

Ramadhan adalah bulan daurah Al-Quran. Al-Quranul-Karim dalam pandangannya yang menyeluruh kepada alam semesta ini, manusia dan kehidupan ini, telah menerangkan kepada kita satu manhaj yang amali dalam mempersiapkan manusia di segi roh, pembentukan keimanannya dan pentarbiyahan kejiwaannya yang akhirnya melahirkan generasi bertaqwa. 

Firman Allah dalam Surah Al-Anfal: 

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.” (Al-Anfal:29) 

Firman Allah dalam Surah Al-Hadid: 

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad) supaya Allah memberikan kepada kamu dua bahagian dan rahmat-Nya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya serta diampunkan dosa kamu dan ingatlah Allah amat Pengampun lagi amat Pengasihani.” (Al-Hadid: 28) 


Dan firman Allah dalam surah At-Talaq: 

“Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan segala larangan) nescaya Allah mengadakan baginya jalan keluar (dari perkara yang menyusahkan) serta memberikannya rezeki dari jalan yang tidak disangkakannya.” (At-Talaq :2-3) 

Renungi dan perhatikanlah dalam keseluruhan rangkaian ayat-ayat tadi, apakah yang kita dapati? 

Taqwa dan Kekuatan 

Kita mendapati bahawa ketakwaan kepada Allah Azzawajala adalah merupakan asas gelombang kekuatan, serta asas bagi nur (cahaya) yang menyuluh dan asas bagi pemberian serta sumbangan (pengorbanan). 

Dalam pada itu juga dengan ketakwaan kepada Allah SWT sahajalah yang membolehkan seseorang mukmin membezakan antara yang “putih” dengan yang “hitam”, iaitu membezakan antara yang hak dengan yang batil. 

Begitulah dengan ketakwaan kepada-Nya, Allah menjadikan bagi mereka yang bertakwa satu nur (cahaya). Lantaran dengan cahaya tersebut mereka berjalan di kalangan manusia lalu manusia seluruhnya berpandukan dengan nur hidayah (yang mereka bawa) dan bersinarkan dengan nur tersebut. 

Dengan ketakwaan kepada-Nya, mereka (yang bertakwa) mendapat jalan keluar (daripada kesusahan) kepada jalan yang penuh dengan keamanan. Sekalipun mereka di ketika itu berhadapan dengan maut serta berhadapan dengan seksaan-seksaan. Sayyid Qutb dalam mentafsirkan firman Allah (Surah Al-Anfal:29) menyatakan: 

“Inilah dia bekalan iaitu bekalan persediaan dan kelengkapan di perjalanan. Bekalan ketakwaan yang menghidup, membangkit dan menyedarkan hati, membuahkan di dalamnya setinggi-tinggi kesedaran, kewaspadaan dan berhati-hati. Menyediakan baginya sinar cahaya petunjuk yang menyingkap segala rintangan ujian di liku-liku perjalanan yang sejauh mata memandang. Cahaya petunjuk ini merupakan cahaya yang tidak dikelami dengan sebarang syubhat (kesamaran) serta mendindingi pemikiran yang sempurna dan benar. Kemudiannya, ia adalah merupakan bekalan keampunan dan memaafkan sebarang kesalahan, bekalan kedamaian yang mencurahkan ketenangan dan kegembiraan, bekalan cita-cita serta impian untuk memenuhi dan mencapai kurniaan Allah yang maha besar di ketika hari yang tiada di sana sebarang bekalan di ketika hari yang mana keseluruhan amalan adalah sia-sia, tidak mempunyai sebarang nilaian. Kesemuanya ini adalah merupakan kenyataan: Bahawa hanya ketakwaan kepada Allah sahajalah yang benar wujud dan menjelma di hati, satu petunjuk yang membezakan antara yang benar dan yang batil yang seterusnya menyingkapkan rintangan dan halangan di perjalanan. Begitu juga dengan hakikat-hakikat kepercayaan (akidah) ini tidak akan dirasai, difahami dan diketahui melainkan kepada mereka yang melaksanakan secara amali.”